Percaya pada bomoh merupakan satu
fenomena yang unik di negara ini. Ia telah wujud sejak turun temurun. Satu
ketika dahulu, bomoh adalah sumber rujukan utama untuk sebarang masalah
kesihatan khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.
Walaupun kini terdapat perubatan
moden yang boleh mengubat pelbagai jenis penyakit, masih ramai dalam kalangan
individu yang lebih percayakan bomoh berbanding ahli perubatan profesional di
klinik mahupun hospital.
Bomoh juga menghadapi saingan
daripada kumpulan perubatan alternatif. Ini termasuk Perubatan Islam, Perubatan
Homeopati, Terapi Vibrasi Warna, Refleksologi, Perubatan Tradisional China dan
sebagainya yang kini tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Namun begitu institusi
‘bomoh’ masih kekal bertapak di bumi Malaysia ini.
Peliknya ia terus popular
walaupun banyak kes penipuan dilaporkan oleh pihak media. Penyelewengan yang
melibatkan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai bomoh memang kerap
berlaku, apatah lagi dengan tiada kawalan dan pemantauan daripada pihak yang
berkuasa. Sesungguhnya itu semua belum cukup untuk menghalang masyarakat
daripada terus mempercayai kebolehan mereka.
Ada yang berpendapat, kepercayaan
kepada bomoh hanya prevalen dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.
Ini adalah kerana kos rawatan yang dikenakan cukup minima berbanding kos
perubatan moden yang begitu tinggi masa kini. Bomoh juga kebanyakkannya berada
di kawasan kampung yang dekat dengan kediaman mereka berbanding hospital yang
terletak jauh di bandar besar. Ada pula pendapat mengatakan mereka yang
percayakan bomoh terdiri daripada golongan yang tidak berpendidikan. Oleh yang
demikian, golongan ini lebih mudah terpengaruh dan diperkotak-katikkan.
Namun hakikatnya tidak begitu.
Kos rawatan bomoh sekarang bukan murah… Tiada lagi bayaran pengeras sebanyak RM
2.15 atau sedekah sekadar yang ikhlas. Sebaliknya bayaran konsultasi yang
dikenakan kini ditetapkan terlebih dahulu. Malah ada dalam kalangan bomoh yang
mengenakan bayaran bernilai ribuan ringgit untuk khidmat yang disediakan.
Pernah ada pesakit yang merungut, kos membuang jin, saka dan sebagainya
mencecah hampir RM 2000 setiap sesi. Bayaran pula perlu dibuat secara tunai
sebelum upacara dilangsungkan.
Menariknya juga golongan yang
terbabit bukan lagi orang miskin atau tidak berpendidikan. Sebaliknya fenomena
ini kini melibatkan mereka yang kaya raya, berpendidikan tinggi, dan berpangkat
besar turut terpengaruh. Golongan ini sanggup menghabiskan wang yang banyak,
menjejaki serata pelusuk negara hanya untuk mencari bomoh yang kononnya handal
dalam merawat pelbagai jenis penyakit…
Jadi jelas bahawa kos dan jarak
tempat rawatan, tahap pendidikan atau tahap sosio-ekonomi individu bukanlah
faktor penentu utama yang menyebabkan masyarakat kita lebih percayakan bomoh
berbanding golongan profesional itu sendiri.
Taksub atau kepercayaan yang
keterlaluan juga boleh mengundang padah. Sesetengah individu terkhilaf dalam
mempercayai bomoh boleh merawat segalanya. Ada yang berpendirian bahawa
penyakit diberi oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, hanya Allah sahaja yang
boleh menyembuhkannya. Tidak perlu berjumpa doktor kerana ia tidak akan membawa
sebarang faedah. Sebaliknya hanya perlu berjumpa bomoh yang boleh mendoakan
terus kepada Yang Maha Esa untuk memulihkan sesuatu penyakit.
Islam sebenarnya mahu kita
berusaha. Perubatan moden adalah ciptaan Allah SWT sebagai metod untuk merawat
penyakit. Ia adalah sebagai ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit. Doktor hanya
sebagai perantara dan ubat adalah bahan yang diciptakan oleh Allah SWT untuk
membantu kita dalam usaha tersebut. Benar, kuasa menyembuh tetap hanya ada pada
Allah Yang Maha Esa. Tetapi bertawakkal dan berdoa sahaja tanpa berusaha
bukanlah cara yang dianjurkan oleh Islam.
Anologi paling mudah ialah ketika
menghadapi peperiksaan. Apakah kita boleh lulus hanya dengan berdoa tanpa
berusaha sedikit pun? Adakah tanpa membuat ulangkaji atau membuat rujukan, kita
boleh berkata kita telah mencuba segalanya? Adakah dengan bertawakkal dan
berdoa sahaja, kita akan lulus dengan cemerlang?
Allah SWT tidak mahu hambaNya
berbuat demikian. Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda bahawa setiap penyakit
ada ubatnya kecuali penyakit tua dan mati...Ilmu yang diturunkan melalui
perubatan moden kini boleh mengubat pelbagai jenis penyakit yang dialami. Namun
perubatan moden juga ada limitasinya. Tapi ia jauh lebih baik daripada hanya
menggunakan jampi serapah atau ritual yang kadangkala boleh merosakkan akidah.
Dari segi psikologi pula, terdapat
beberapa teori yang telah diketengahkan bagi menjelaskan isu ini. Intimidasi atau takut dengan suasana yang
dikaitkan dengan perubatan moden adalah salah satu daripadanya.
Ujian darah, pengimejan, imbasan,
ujian ultra bunyi, pembedahan, suntikan, doktor, jururawat dan sebagainya
mungkin dilihat sebagai sesuatu yang remeh dan biasa kepada individu yang
terlibat dalam profesion ini. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang di luar
sana, itu semua adalah sesuatu yang asing, sesuatu yang menakutkan dan jika
boleh, dijauhi sama sekali.
Itu belum diambilkira rawatan
atau ujian invasif seperti mengambil air
tulang belakang atau sum-sum tulang, terapi eletrokonvulsif (‘karan otak’) dan
sebagainya yang dianggap boleh memberi pelbagai kesan sampingan yang menyakitkan
atau menyebabkan kematian. Keadaan ini diburukkan lagi dengan gambaran layanan
buruk yang disiarkan melalui laman sosial, media konvensional mahupun
alternatif, dan cerita yang diperoleh melalui rakan dan sahabat handai mengenai
perubatan moden di negara ini.
Oleh yang demikian, tidak
hairanlah kenapa para bomoh menjadi pilihan. Mereka hanya menggunakan air jampi
dan ritual mudah untuk merawat apa sahaja penyakit. Ini tentunya satu
alternatif yang jauh lebih menarik dan tidak menakutkan….
Denial atau keengganan untuk
menerima hakikat sebenar mungkin antara faktor pendorong lain mengapa bomoh
lebih dipercayai. Kerapkali pesakit tidak mahu mengakui mereka mengalami
sesuatu penyakit atau menjadi penyebab kepada penyakit tersebut.
Individu yang mengalami
kemurungan akibat masalah rumah tangga contohnya mungkin akan kurang selesa
jika diberitahu bahawa penyakit yang dialami adalah hasil kelemahan atau
kesalahan diri sendiri dalam mengurus rumah tangga, tidak tahu bertolak ansur
atau tidak pandai menyesuaikan diri dengan pasangan masing-masing.
Sebaliknya jika dikatakan
kemurungan itu berpunca daripada buatan orang yang dengki kepada rumah tangga
mereka, atau ingin membalas dendam, alasan sedemikian jauh lebih menarik untuk diterima oleh individu terbabit atau
ahli keluarga yang terlibat. Isu utama adalah enggan memikul tanggungjawab atau
mengakui kelemahan diri. Kesalahan atau beban tidak mahu dipikul di atas bahu
sendiri, sebaliknya lebih selesa jika orang lain yang boleh dipersalahkan.
Keadaan sedemikian mendorong
individu dan keluarga yang terbabit berikhtiar melawan penyakit ‘buatan orang’
dengan membuang saka atau jin yang kononnya berada dalam diri mereka (telah
diletakkan oleh individu tertentu) dengan bantuan bomoh tersebut. Kepuasan
kerana dapat ‘membalas semula’ atau menggagalkan cubaan jahat tersebut ; atau
perasaan takut kepada implikasi buruk yang mungkin terjadi jika tidak
membuangnya daripada badan mereka
menyebabkan ramai pesakit rela bergolok bergadai mencari wang untuk melunaskan
pengeras yang ditetapkan.
Stigma juga memainkan peranan
dalam memperjelaskan mengapa bomoh lebih menjadi tumpuan berbanding perubatan
moden (khususnya jika ia melibatkan gangguan jiwa). Sakit jiwa adalah sesuatu
yang sering dipandang hina oleh masyarakat kita. Individu yang disahkan
mengalaminya kerapkali dianggap lemah dan disisihkan. Keluarga mereka juga
turut menerima nasib yang sama.
Kebetulan, ramai dalam kalangan
pesakit jiwa mempunyai halusinasi (contohnya dapat mendengar suara-suara ghaib
atau dapat melihat sesuatu yang tidak jelas dipandangan orang lain). Mereka
juga mengalami simptom yang dipanggil delusi. Ia adalah kepercayaan yang salah
yang dialami oleh individu walau tidak ada bukti langsung untuk menyokong
kepercayaan mereka. Contoh yang paling mudah ialah percaya bahawa ada seseorang
yang cuba untuk menganiayai atau berbuat jahat kepada mereka.
Keadaan sedemikian sudah tentu
memudahkan para bomoh untuk meyakinkan pesakit tersebut bahawa suara yang
didengar itu adalah suara hantu atau jin ; dan delusi yang dialami pula adalah
hasil daripada buatan orang tertentu yang ingin membalas dendam terhadap
pesakit atau sesiapa sahaja ahli keluarga yang terbabit.
Mempercayai dan menganggap bahawa
semua itu terjadi berpunca daripada buatan orang, jin atau pun apa sahaja
makhluk ghaib sudah tentu dapat menghindarkan individu dan keluarga daripada
disisihkan dan dipandang serong oleh masyarakat setempat. Jadi ini sudah tentu
akan menguatkan lagi kepercayaan mereka kepada bomoh berbanding golongan
profesional perubatan di negara ini.
Secara kesimpulannya, kepercayaan
kepada bomoh masih kuat dalam kalangan masyarakat kita. Sukar rasanya untuk
mengikisnya kerana ia bukan sahaja melibatkan golongan tua malah golongan muda
juga turut terpengaruh. Apa yang boleh ialah terus memberi kesedaran dan
informasi agar implikasi atau kesan buruk yang mungkin timbul dapat diminimakan
demi kebaikan bersama.
Wallahuaklam.