Monday, July 14, 2014

Fatwa Pengharaman Menghisap Sisha

Tarikh Keputusan: 
 24 Jan, 2011

Huraian Tajuk/Isu: 
Fatwa ini dikeluarkan ekoran ramai dari kalangan remaja lelaki dan perempuan yang suka menghisap syisha. Persoalan ini ditimbulkan oleh Pengarah Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar.
Keputusan: 
Sohibus Samahah Dato' Mufti Negeri Kedah Darul Aman pada 24 Januari 2011 bersamaan 19 Safar 1432 telah memutuskan bahawa menghisap sisha boleh membawa bahaya kepada kesihatan dan boleh mengundang pelbagai jenis penyakit, maka hukum menghisapnya adalah haram.
Keterangan/Hujah: 
Umum mengetahui bahawa hukum merokok adalah haram, fatwa pengharamannya berdasarkan kepada unsur-unsur yang jelas bercanggah dengan tuntutan syarak, selain pembaziran ia juga telah terbukti secara saintifik boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit kronik serta mengundang kesan-kesan negatif yang lain. Jika dilihat kepada menghisap sisha, ia adalah sama seperti merokok yang boleh membawa risiko dan bahaya dan ia bukanlah alternatif yang selamat bagi merokok.
Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza, menghisap sisha adalah menghisap tembakau yang dicampur pelbagai bahan kimia atau bahan-bahan terlarang. Kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau yang dicampur dengan bahan terlarang tersebut serta pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan pelbagai penyakit bahkan boleh membawa maut. Oleh itu, Islam melarang umatnya daripada memudharatkan diri apatah lagi membunuh diri sendiri.
​Ini berdasarkan Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
  (النساء: 29)
Maksudnya:  Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu Dengan jalan Yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali Dengan jalan perniagaan Yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
( Al- Baqarah : 195)
Maksudnya:, Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan …
Juga terdapat dalam hadith Rasulullah SAW yang jelas melarang umatnya daripada membahayakan diri sendiri dan orang lain. Sabda Baginda :
لاَضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ (رواه ابن  ماجه)
Maksudnya : Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh membuat kemudharatan.
Berdasarkan kepada dalil-dalil di atas maka hukum menghisap tembakau atau seumpamanya dengan menggunakan sisha boleh membawa bahaya kepada kesihatan dan boleh mengundang pelbagai jenis penyakit, maka hukum menghisapnya adalah haram.
والله أعلم.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/pengharaman-menghisap-syisha

No comments:

Post a Comment